Tumpat: Sebanyak 55 lembu disembelih sempena Ibadah Korban Santun Masyarakat anjuran Pertubuhan Kasih Neelofa tahun ini.
Kesemua lembu korban itu diagihkan kepada hampir 4,000 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di 12 negeri kecuali Sarawak.
Dengan peruntukan hampir RM300,000, Kelantan dan Perak adalah antara dua negeri yang menerima lembu korban paling banyak iaitu sembilan ekor dan proses penyembelihan dijalankan pada semalam dan hari ini.
Pengurus Pertubuhan Kasih Neelofa bahagian Pantai Timur, Noor Suryanti Noor Mohamed berkata, dana untuk program korban tahunan itu diperoleh melalui sumbangan daripada penyumbang menerusi pertubuhan mereka.
“Sebanyak sembilan lembu korban disediakan untuk Kelantan termasuk seekor yang disumbangkan kepada sebuah pondok di selatan Thailand.
“Kami menyasarkan seramai 700 penerima akan menerima daging korban ini yang merangkumi semua jajahan dan agihannya akan dibuat oleh wakil pertubuhan yang dilantik,” katanya kepada pemberita di lokasi penyembelihan di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
Noor Suryanti berkata, bilangan lembu korban kali ini pada asalnya disasarkan sebanyak 500 untuk seluruh negara namun disebabkan pandemik Covid-19 dan aktiviti sembelihan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jumlahnya terpaksa dikurangkan.
Katanya, atas kekangan itu banyak pihak membuat program korban di luar negara bagaimanapun pihaknya tetap menyasarkan golongan asnaf dalam negara kerana menganggap masih ramai yang tidak mampu menikmati daging korban.
“Insya-Allah, kami akan meneruskan lagi program ini di masa akan datang bergantung kepada dana yang ada,” katanya.
Seorang penerima, Mek Teh Padang, 63, meluahkan terima kasih atas sumbangan daging korban itu yang menyifatkan rezeki untuk mereka enam beranak untuk dijadikan lauk.
Dia berkata, tidak banyak daging korban yang diterima tahun ini berbanding tahun sebelumnya namun sudah bersyukur kerana dapat merasai lauk yang dianggap mahal bagi mereka yang tidak berkemampuan.
“Kami juga menerima satu bahagian korban yang diletakkan atas nama suami untuk program di bawah pertubuhan ini dan sangat bersyukur kerana akhirnya dapat juga merasai bagaimana perasaan orang buat ibadah korban.
“Daging yang diterima daripada penyumbang akan kami masak secara berjimat kerana bukan selalu dapat makan lauk ‘mewah’ seperti ini,” katanya yang mengambil upah mengopek ikan bilis disebabkan suaminya diserang strok sejak tujuh bulan lalu.
Disiarkan pada: Julai 23, 2021 @ 5:48pm
Sumber Dari :

0 Komen