Pertubuhan Kasih Neelofa sumbang kelengkapan jenazah RM41,900 [METROTV]

oleh 26,Ogo,2021

Kota Bharu: Pertubuhan Kasih Neelofa menyerahkan kelengkapan 100 set jenazah berjumlah RM41,900 kepada Pondok Maheliah yang menyediakan khidmat pengurusan kematian secara percuma kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Pengerusinya, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membantu golongan asnaf yang kurang berkemampuan dalam menguruskan ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.

Katanya, dalam masa terdekat ini, pihaknya akan menambah 100 lagi set kelengkapan jenazah yang secara tidak langsung dapat membantu pengurusan jenazah di beberapa kawasan termasuk Kota Bharu, Tumpat, Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, dan Pasir Mas.

“Saya mendapati ada dalam kalangan asnaf yang tidak mampu menyediakan wang untuk menguruskan jenazah ahli keluarga yang sudah meninggal dunia selain mereka juga tidak mampu membayar kos pengebumian yang sekali gus memberi bebanan kepada keluarga berkenaan.

“Atas keprihatinan mengenai masalah yang dialami oleh golongan ini, kami mengambil inisiatif menyumbangkan set kelengkapan jenazah bagi memudahkan pengurusan jenazah.

“Saya berharap dengan bantuan set kelengkapan jenazah ini dapat memudahkan serta melancarkan urusan pengebumian masyarakat setempat yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Kasih Neelofa di Kota Bharu, Nezalani Nawi menyerahkan set kelengkapan jenazah kepada Warden Pondok Maheliah, Mohd Fadhli Mamat.

Dalam masa sama, pertubuhan berkenaan juga menyampaikan replika cek berjumlah RM30,000

kepada Imam Tua Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh, Mohd Sidek Mamat bagi tujuan baik pulih masjid berkenaan yang mengalami kerosakan dalam kejadian letupan kereta, pada Mei lalu.

Sementara itu, Mohd Fadhli berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan set kelengkapan jenazah yang diberikan itu.

“Pihak pengurusan pondok menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma sejak lima bulan lalu dan setakat ini, kami ini sudah menguruskan 100 jenazah dalam kalangan keluarga asnaf di seluruh negeri.

“Berbanding dengan golongan yang berkemampuan, pihak kami lebih mengutamakan keluarga asnaf yang kita sedia maklum mereka mengalami masalah kewangan ditambah pula berlakunya kematian secara tiba-tiba.

“Golongan asnaf yang ingin mendapatkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma hanya perlu menghubungi pihak kami dan segalanya akan diuruskan bermula dari memandikan jenazah sehingga selesai membaca talkin di tanah perkuburan,” katanya.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 10:12am

Sumber Dari :

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/724492/pertubuhan-kasih-neelofa-sumbang-kelengkapan-jenazah-rm41900-metrotv

0 Komen

Hantar Komen

Langgani Berita Kasih Neelofa

4 + 14 =

Lokasi

Tingkat 2, 83b, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Wilayah Persekutuan

Hubungi Kami

(012) 200-2102
[email protected]

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera. Salam dari kami di Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN). Kami adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang terletak di bandar Kuala Lumpur, Malaysia. Kami percaya bahawa kita dapat menjadikan dunia ini lebih indah untuk didiami bersama-sama.

Neelofa

Pengerusi, Pertubuhan Kasih Neelofa

Share This