Kuala Lumpur: Pendakwah bebas dan selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz terpanggil membantu 110 keluarga kurang berkemampuan di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur, semalam.
PU Riz, 26, berkata, dia bersama NGO, Pertubuhan Kasih Neelofa menyalurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas harian.
“Diakui hampir setiap hari saya mendapat mesej peribadi (DM) di Instagram yang meminta bantuan. Malah, apabila terbaca mengenai kempen kibarkan bendera putih saya sedar semakin ramai yang berada dalam kesusahan.
“Selepas mendapat maklumat ada keluarga di Taman Jinjang Baru yang mengibarkan bendera putih, saya bersama pasukan Pertubuhan Kasih Neelofa ambil keputusan untuk ke sana.
“Alhamdulillah, kami dapat bantu dalam 110 keluarga. Semua ini bukan yang kibar bendera putih. Ada juga yang tak berbuat sedemikian, tapi kami bantu juga. Apa pun, semoga sumbangan ini memberikan manfaat buat mereka sekeluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, PU Riz berkata kempen kibarkan bendera putih itu adalah usaha yang dibuat rakyat Malaysia atas keprihatinan sesama insan.
“Saya percaya ini antara usaha untuk membantu mereka yang betul-betul memerlukan ketika ini. Malah, tidak ada unsur paksaan pun dalam melaksanakan perkara ini. Jadi, tidak salah kalau ada mana-mana pihak yang membantu mereka yang kibarkan bendera putih ini.
“Paling penting sebenarnya adalah ini satu lagi cara bagaimana kita menunjukkan rasa berkasih sayang antara satu sama lain terutama dalam hidup bermasyarakat. Disebabkan itu, saya bersama Pertubuhan Kasih Neelofa mahu berkongsi rezeki ini kepada mereka yang memerlukan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah banyak membantu dalam menjayakan setiap misi yang kami jalankan. Insya Allah, rezeki yang ada ini kita akan terus kongsi bersama,” katanya.
Sebelum ini, PU Riz turut memberikan RM300 kepada l30 pelajar yang mendapat keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam masa sama, Pertubuhan Kasih Neelofa baru-baru ini menyerahkan kelengkapan 100 set jenazah berjumlah RM41,900 kepada Pondok Maheliah di Kota Bharu, Kelantan yang menyediakan khidmat pengurusan kematian secara percuma kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri itu.
Disiarkan pada: Julai 3, 2021 @ 4:59pm
Sumber Dari :
https://www.hmetro.com.my/rap/2021/07/725954/tanda-prihatin-pu-riz-bantu-keluarga-b40
0 Komen